Terbaru di Rak Rinn: Sentuh buku utk baca review (klik next utk rak lama)

Shelfari: Book reviews on your book blog

Thursday, October 29, 2009

Bakal Terbit: Novel Terbaru Antasya Balkis


Tajuk: Ajarkan Aku Setia Cinta
Penulis: Antasya Balqis
Terbitan: Fajar Pakeer
Cetakan Pertama: 2009


"Tiap Kali Berpapasan Mata, Hati Dipalu Irama Cinta"


Antara Faryan dan Serra, bagaikan bulan dan matahari, saling memerlukan… saling mencintai. Antara Faryan dan Serra, bagai kumbang dan bunga, menyeri taman. Tetapi entah mengapa bulan dan matahari berpisah kasih, kumbang dan bunga bercerai sayang.


Perpisahan terjadi lantaran hati terlalu sedih kerana dikecewa. Saat cinta Faryan mengembang, Serra menghilang diri. Tanpa khabar, hilang berita. Faryan jadi perindu dan rindu itu cuba dikambus melalui pertunangannya dengan Wina, atas kehendak keluarga.


Namun, di celah rasa kecewa yang menjadi cebisan perasaan, pertemuan ada semula. Mereka tetap bersama. Rindu dan benci bertandang antara malu untuk mengakui aku juga cinta kepadamu…


Pun begitu, akhirnya bulan dan matahari tetap bersama kerana fitrah azali telah menjodohkannya. Dan, mungkinkah begitu jua suratan azali antara Faryan dan Serra? Fitrah mereka, adakah mungkin jodoh bersama? Atau akankah Serra dibalas kecewa atas silap dahulu?

Monday, October 26, 2009

Novel-novel Terbaru di Pasaran :)

















TAJUK : KAPAL TERBANG KERTAS
PENULIS : HASLIZA ISMAIL
PENERBIT : KAKI NOVEL
HARGA: S/M : RM16 AHLI : RM14
S/S : RM19 AHLI : RM15


"Angin bawa aku terbang jauh dari kedukaan ini"


Suriani melarikan diri ke Kuala Lumpur demi menyelamatkan masa hadapannya. Dia rela dirinya hanyut dibawa nasib mengenangkan cita-citanya untuk menjadi tentera udara bersama Mahadi tidak kesampaian.

Nasibnya baik kerana bertemu secara tidak sengaja dengan Ian Emran yang sudi membantunya. Bertugas sebagai pembantu Ian Emran telah menimbulkan perasaan cemburu di dalam hati Marina, sahabat karib Ian Emran yang telah tujuh tahun setia di sisi lelaki itu. Begitu juga dengan beberapa kakitangan wanita lain di pejabat hingga menimbulkan gosip tidak baik ke atas dirinya. Lantas, Ian Emran yang mula menaruh hati terhadap Suriani segera menyuntingnya sebagai suri hidupnya.

Sepanjang tempoh pertunangan mereka, pelbagai dugaan dan cabaran harus dihadapi kerana Marina yang mendambakan kasih Ian Emran sentiasa menggugat kepercayaan Suriani terhadap Ian Emran. Tatkala jiwa Suriani berperang sesama sendiri Mahadi muncul kembali, ingin mengotakan janji-janjinya terhadap Suriani untuk membawanya “terbang” bersama. Suriani tersepit di antara tunangnya, Ian Emran dan kekasih lamanya, Mahadi.

Ke manakah haluan hidup Suriani? Ke manakah kapal terbang kertas akan membawanya terbang pergi?














TAJUK : HOT GIMMICK
PENULIS : SHASFA ALYAHYA
PENERBIT : KAKI NOVEL
HARGA : S/M : RM18 AHLI : RM14
S/S : RM21 AHLI : RM17

"Tengok! Si Killa buat gimik lagi dengan 3K...!"


Natasya Shakilla telah mengganggu kelancaran perjalanan hidup Harizd. Kewibawaannya sebagai Ketua Pengawas tergugat dengan sikap Natasya Shakilla yang sentiasa melanggar undang-undang sekolah. Perbalahan pasti akan tercetus setiap kali mereka terserempak. Mujurlah ada Amierul Mukminien dan Izuan, penyelamat keadaan.



Natasya Shakilla sering meluahkan ketidakpuasan hatinya kepada Amierul Mukminien, pendengar setia yang juga merupakan sahabat karib Harizd. Hubungan rapat mereka berdua telah mengundang perasaan iri hati pelajar-pelajar perempuan di sekolah itu. Maka, timbullah siri pembulian ke atas Natasya Shakilla. Mujurlah Harizd menyelamatkan Natsya Shakilla. Rupa-rupanya Harizd dan Natasya Shakilla pernah ‘berkasih’ semasa mereka masih kanak-kanak dahulu.

Bagaimanakah penerimaan Harizd dan Natasya Shakilla terhadap diri masing-masing sementelah mereka amat membenci di antara satu sama lain?

Blurb Belakang Novel

Kehadiran Natasya Shakilla (Asya / Killa) mendatangkan gimik yang besar di dalah hidup Harizd Hakkam. Status Harizd sebagai Ketua Pengawas bukanlah penggugat untuk dia melawan lelaki itu. Pergaduhan yang tercetus di antara dia dan pengawas besar itu menimbulkan pelbagai masalah. Manakala hubungan baiknya dengan Amierul Mukminien Carl dan Wan Izuan Hafiz menerbitkan cemburu di dalam hati para pelajar perempuan. Secara tidak langsung , Asya telah pun memasuki kumpulan 3K. Tapi bagi peminat setia 3K, Asya adalah musuh utama mereka! Musuh yang sentiasa laparkan sasaran dan hero penyelamatnya – Harizd.

Apabila hatinya mula menerima kehadiran Harizd sebagai rakan sekelas dan hidup sebagai seorang muslimah yang sebenar, dia mendapat tahu lelaki itu ialah ‘Ayez’, kenangan masa silam. Dan dia terpaksa meneruskan pembohongan kepada Harizd atas permintaan Hanis Humaira.

Tegarkah dia meneruskan pembohongan disebabkan Hani Humaira yang dahagakan kasih sayang seorang insan yang bergelar abang? Dapatkah dia berhadapan dengan diri Harizd sekarang, sedangkan kenangan Ayez pada masa silamnya bagaikan berputar di segenap benaknya? Apakah kisah silam yang tersembunyi di antara mereka berdua?

Apakah masih ada gimik yang lebih hebat?









Tajuk: Titian Nabi
Penulis: Muhammad Masykur A. R. Said
Penerbit: PTS Litera Sdn Bhd
http://www.pts.com.my
Harga: RM 17
RM 19 (Sabah & Sarawak),
isbn: 9789833892556
384 mukasurat


Novel Islami yang mengangkat perjuangan hati dan suci Zahra dan Attar. Namun cinta mereka tidaklah mulus kerana terdera dengan perasaan disebabkan Attar melanjutkan pelajarannya ke Mesir. Apakah kukuh cinta suci yang disaksikan pada tiga negeri, Indonesia, Mesir, dan Tanah Suci Mekah itu? Sanggupkah bahtera cinta mereka menahan amukan badai yang menerjang? Akankah cinta mereka selamat berlabuh ke tepi dermaga atau tenggelam di tengah samudera?




Tajuk : Yang Sebenarnya
Penulis : Aisya Sofea
Penerbit : Alaf21


TIDAK semua cinta itu berbalas. Inilah yang terjadi kepada Eddie. Akibat cintanya ditolak oleh Nazirah, sepupunya, dia nekad membawa diri ke London. Hatinya perlu dirawat.


Kelukaan Eddie mendapat simpati daripada Nadhiya, adik Nazirah.Melalui kiriman e-mel dan YM, Nadhiya sentiasa meyakinkan Eddie bahawa cinta akan datang lagi. Namun, hati Eddie belum terbuka untuk mencari pengganti.


Seiring waktu berlalu... cinta Eddie semakin memekar. Dengan sema ngat baru, Eddie pulang bersama cinta untuk Nadhiya. Malangnya, kalimat keramat itu tidak terucap dari bibirnya, apatah lagi Nadhiya
melayannya seperti seorang abang. Eddie jadi panasaran. Akibatnya, mereka sering bertelingkah tanpa sebab. Nadhiya memendam rasa...
lelaki itu seperti memusuhinya.


Semuanya harus dirungkaikan. Eddie perlu berterus terang tentang perasaan sebenarnya. Dan Nadhiya pula mesti menyedari bahawa cinta baru Eddie adalah untuk dirinya!










Di sebalik yang terjadi, pasti ada yang terjanji. Terpateri sesuatu yang pasti jika ada reda Ilahi. Begitulah pandangan Sara dan Azelea apabila hati sudah terlanjur cinta.


Sara bertemu dengan Haziq secara tidak sengaja di Cameron Highlands. Dia tertarik kepada ketenangan dan karisma lelaki itu. Dia sudah terlanjur cinta tanpa boleh menolak hakikat; yang dicintai itu adalah suami wanita lain.


Azelea terlalu cintakan Sinclair. Tiada yang dapat mengubah cinta itu, namun percaya yang hilang meranapkannya. Hati dibasahi parah jadi segar dengan kehadiran Eric Loi, membuatkan cintanya terlanjur semula.


Apakah Sara rela menjadi yang kedua dalam hidup Haziq? Mungkinkah Azelea mengizinkan Eric Loi jadi yang kedua di hatinya? Adakah keterlanjuran cinta mereka akan membuat mereka bahagia?










"Setia kunantikan sebuah memori"


Konflik diri Priscillia bermula dengan satu panggilan misteri daripada pembantu suaminya, Ziela. Maklumat yang diterima dianggap tohmahan sahaja. Ada pihak yang cemburu melihat kebahagiaan keluarganya. Itulah tanggapan awal Priscillia. Namun, pengintipan yang dilakukan di Hotel Hilton membuktikan kecurangan suaminya, Kelvin. Suaminya bermain kayu tiga di belakangnya.
Kelvin mempunyai dua personaliti; sebagai suami misali dan suami yang zalim.


Kelly, si anak pula menjadi mangsa apabila Kelvin sanggup mengumpan si kecil itu untuk kepentingan diri sendiri. Dia mahu hidup bebas, namun Priscillia tidak boleh begitu. Di mata orang dia suami misali di rumah dan Priscillia isteri yang taat. Priscillia hanya miliknya namun dia bukan hanya untuk Priscillia.


Priscillia masih rindukan cinta Kelvin, perhatian seseorang suami dan mahu Kelvin terus bersamanya. Dia tidak boleh hidup tanpa Kelvin. Berjayakah Priscillia membebaskan diri daripada kemelut rumah tangganya? Mungkinkah rindu Priscillia untuk Kelvin bakal bersambut?










Tajuk : Samudera Indah Nian
Penulis : Mazni Darwisya
Penerbit : Jemari Seni
Harga : -


Ibarat setianya Ali pada Fatimah


Ibarat kasihnya Muhammmad pada Khadijah


Itulah yang Yasmin Nur Raihan impikan dalam perkahwinannya bersama Amru walau ikatan mereka diatur keluarga. Yasmin berharap Amru menjadi pendampingnya dunia akhirat. Pada Yasmin cinta kasih dan sayang mampu disemai dipupuk. Berbeza bagi Leftenan Komander Amru Iskandar, hakikat jodohnya bersama Yasmin sukar diterima. Lantas diletakkannya syarat pada malam pertama mereka. Yasmin akur malah bersyukur. Padanya Amru bagai seorang sahabat baik yang baru dikenalinya.


Segalanya berubah apabila Yasmin menapak buat kali pertama bercuti ke rumah Amru di Lumut. Entah bila pula timbulnya rasa rindu dan sayang di hati Amru; sikap dan kelembutan Yasmin telah mengikat hati Amru pada wanita itu. Belum sempat diluahkan rasa hati, segalanya bertukar tragedi apabila Leftenan Maya Athira hadir antara mereka. Tidak seperti perempuan yang suka menyerah, Yasmin nekad mempertahankan rumah tangganya. Tetapi Amru... bagaimana?


Samudera itu indah... sepertimana indahnya cinta yang kita kemudi... ~ Amru Iskandar.


* * * *

Nukilan pertama Mazni Darwisya – Samudera Indah Nian – berlatarbelakangkan Pangkalan TLDM Lumut. Kuatkah Yasmin pabila dilambung samudera hati...? Berjayakah Amru mengemudi bahteranya? Biarlah Mazni Darwisya yang menjawabnya!



------------
Tajuk: Syurga Kasih di Kaki Pelangi
Penulis: Halis Azhan
Penerbit : KarnaDya solutions
Cetakan Pertama: 2009


"Aku mencari tempayan emas di kaki pelangi, rupa-rupanya syurga kasih juga menanti di sini."


Sinopsis:



Erni Aflina, gadis anak angkat berhati tulus, hidupnya tidak pernah tenang kerana banyak liku-liku yang tidak terjangka terpaksa ditempuhi. Sejak kecil dia mengimpikan syurga kasih, sejak kecil juga dia mencari-cari tempayan emas di kaki pelangi. Segala-galanya tidak pernah indah buat Aflina. Sampai suatu masa, dia perlu minta diri.



Izrar Hadafi, anak muda berhati luhur, hidupnya mewah tetapi tidak sarat dengan kasih sayang. Dia ingin menjadi Hang Jebat, dia akan membela apa-apa yang dirasakan benar. Segala-galanya tidak pernah elok di mata dan di hati Hadafi sehingga dia mengenali gadis itu. Namun, tidak mudah hendak mendekati dan memiliki hati Aflina.



Sepasang hati bertemu di hujung noktah. Titis-titis hujan menderu ketika fikiran keliru dan perasaan celaru. Siapa sangka di hujung jalan, Aflina menemui syurga kasih di kaki pelangi yang dicari-cari…



Ikutilah kisah pencarian gadis Erni Aflina yang mendebarkan ini...




Friday, October 9, 2009

Trinovel Oktober Alaf 21


1. SAKSI CINTA

Penulis: Wana Amani
Halaman: 488
Harga: RM18.00
ISBN: 978-983-124-457-9

Sinopsis:

MENGENALI Juliana seakan satu anugerah yang ALLAH berikan kepada Iskandar. Kehadiran gadis itu telah menceriakan hidupnya dan disayangi oleh seluruh ahli keluarga serta sahabatnya. Juliana begitu istimewa. Malah, Juliana juga telah mengajarnya menjadi seorang lelaki yang lebih bertanggungjawab.

Di saat Iskandar masih berteka-teki tentang perasaannya terhadap Juliana, Maya hadir menghulur salam perkenalan. Ternyata wajah ayu, kesopanan dan kelembutan gadis itu telah mencuri hati lelakinya. Dia rela bersama Maya walaupun jalan yang dilalui tidak semudah dan seindah ketika berdampingan dengan Juliana.

Bagi Juliana, dia terpaksa akur... Iskandar bukan miliknya. Demi sayang, dia sanggup melihat Iskandar berbahagia walaupun hatinya merintih hiba. Namun, saat semua impian ingin dicapai, Iskandar hadir memberi segunung harapan. Dia keliru. Adakah Iskandar lelaki yang sama pernah bertapak dalam hatinya?

Kini, mimpinya yang bertahun lalu seakan berubah menjadi realiti...

------------------

2. BEBUNGA KASIH

Harga: RM19.90
Penulis: Hani Fazuha
Halaman: 512
ISBN: 978-983-124-462-3

Sinopsis:

DYA dinodai oleh abangnya dalam usia yang masih mentah. Namun, dia tidak berani mendedahkan kejadian itu bila ayahnya sendiri tidak pernah mengiktirafnya sebagai anak kandung.

Hidup Dya terus diselimuti mendung bila dia terluka lagi. Encik Nasri yang dianggap prihatin, sekadar mempermainkan perasaannya. Harapan yang disandarkan kepada Syamir juga turut berkecai. Kekecewaan Dya bertimpa-timpa bila mengetahui kedua-dua lelaki itu sebenarnya adalah ‘suami orang’. Ini menambahkan lagi kebenciannya terhadap lelaki.

Kemunculan Zarif, bekas teman sekolah merobek kembali kisah lama. Dya masih ingat, Zarif sering menyakiti hatinya. Malah penghinaan yang pernah dilemparkan, tidak pernah Dya lupa. Dan kerana Zarif juga, dia menjadi anak terbuang!

Sebenarnya, Zarif mahu merawat kelukaan Dya. Tetapi Dya menjauhkan diri kerana takut rahsianya terbongkar! Akhirnya, segunung kebaikan yang Zarif limpahkan membuka mata hati Dya bahawa lelaki itu ikhlas mencintainya.

Namun, sudahkah dia bersedia menerima lamaran Zarif sedangkan bayangan silam terus menghantuinya?

-----------------------

3. JIWA MERINDU

Penulis: Erin Zehana
Halaman: 424
Harga: RM17.00
ISBN: 978-983-124-469-2

Sinopsis:

PERTEMUAN semula dengan Luqman benarbenar tidak diduga. Natasha pernah terluka kerana jejaka itu. Telah dilempar jauh semua kenangan manis agar tiada rindu mencengkam jiwa. Cinta di hati telah pudar dibawa arus masa.

Tetapi, Luqman tidak pernah berputus asa menjejak cinta Natasha. Dia mahu menjernihkan hubungan, memperbetulkan keadaan. Perpisahan yang terjadi bukan pintanya. Kemaafan Natasha diraih agar terhapus rasa derita.

Suratan takdir itu tiada siapa dapat menentangnya. Demi sebuah maruah yang cuba dipertahankan, Natasha dan Luqman terperangkap. Kerana peristiwa hitam itu, Natasha sah menjadi isteri Luqman tanpa pengetahuan papanya. Dia pasrah dalam duka.

Melayari mahligai dari air mata, tiada restu keluarga, penuh dengan curiga dan tidak sefahaman... bahagiakah yang menanti Natasha? Sedangkan Luqman sungguh-sungguh mengharap cinta Natasha kembali bersemi untuknya.

Tuesday, October 6, 2009

Review 31: Fitrah Kasih by Ilani Mysara



Tajuk Fitrah Kasih
Penulis: Ilani Mysara (Bonda)
Cetakan Pertama: 2008
Penerbit Alaf 21 Sdn. Bhd
isbn: 9789831243671
463 mukasurat


"Rasa ini menjelma tanpa dipinta menyelinap di kalbu lalu menyelimuti hati"


Bagi yang mencari cerita tangkap nangis yang meruntun kalbu malbu semua, boleh ar baca citer ni. Memang sedih yang amat sangat membaca nasib Murni dalam kisah ini. Ilani Mysara memang dikenali dengan kisah2 alternatif begini yang bukan typikal. Kebanyakan ending kisah2nya aku agak sukar nak terima sbb aku suka happy ending. hehe.. tapi cara bonda end kan kisah ini aku rasa sangat berpuas hati. :)


Bagi aku cerita ini lengkap dan kemas isi dan penyampaiannya. Kita berasa sangat dekat dengan dunia Murni yang penuh cabaran. Dia bukanlah insan yg dilahirkan sempurna atau dalam suasana yg menjadi kebiasaan orang lain. Tapi anak yg tak tau apa2 itu adalah insan yg sangat tabah dan baik hati.


Cerita bermula dengan kelahiran Murni, anak yg dilahirkan Salmah setelah diperkosa bapanya sendiri. Ibu Salmah, Mak Itam malu kerana dia merupakan bidan kampung yg terkenal, dia tak mahu menanggung aib, lalu Murni diserahkan kpd org lain dan Salmah juga dihantar pergi.


Murni bukan sahaja lahir dlm keaiban, dia juga ditakdirkan badan bersisik dan gatal2. Keluarga angkat dia mula2 tak tau. Tapi lepas dah tau tu, mak angkat dia menyisihkan dia. Dia dijaga oleh org gaji. tapi bapa angkat dia baik. Lepas diorang dpt anak lain, Murni dikembalikan kpd Mak Itam. Tapi masa tu Murni dah bleh masuk sekolah la... Tapi kat sekolah Murni dipandang jijik malah digelar anak ular. Memang sedih la keadaan Murni yg sentiasa dipandang serong. Dia decide utk tidak bersekolah dan mula bekerja di ladang sayur Tauke Chong.


Mak Itam menjaga Murni dgn rapi dan menggunakan kepakaran dia dalam perubatan tradisional utk merawat kulit Murni. Menjelang usia 16 tahun, Murni adalah pekebun sayur yg cantik molek. Anak Mak Itam, Omar yg pernah memandang jijik pada Murni pun sudah terpikat dgn kecantikan Murni.


Omar ni la antara watak yg buat aku rasa geram dan berdebar, dah la dia sorang anak lelaki Mak Itam, dan perangai pun ada iras2 suami Mak Itam yg bernafsu binatang tu. Murni dan Mak Itam bekerja utk menyara anak2 Mak Itam yg masih belajar, Saodah, Omar dan Salmiah. Salbiah adalah anak mak itam yg paling rapat dgn Murni.


Suatu hari Murni dikejutkan dgn kepulangan Salmah. Mulanya ia tak tau yg Salmah tu lah ibu kandungnya, tapi lama-kelamaan terbongkar juga kisah sebenar. Salmah mengidap penyakit kelamin dan Murnilah yg menjaganya sehingga dia menghembus nafas terakhir.


Kematian Mak Itam menambah lagi kesengsaraan Murni. Omar menuduh Murni dpt byk harta Mak Itam sedangkan dia dpt duit lebih kurang seribu ringgit sahaja. Apa sangat lah harta yg Mak Itam ada. huh, geram betul dgn watak Omar masa nih. rasa macam nak sumbat masuk dlm blender dan mesen sampai lumat! Dah la Murni yg bersusah payah bekerja utk menyara pelajaran dia, bleh dia tuduh Murni macam2. Dh tu siap bawak balik kawan lelaki sampai 5 orang mai tido rumah dia. Lagi la Murni tak sedap hati. Shah (salah sorang kwn Omar) terpikat dengan kebaikan Murni, tapi Murni sedar keadaan dirinya dan cuba utk tidak menghiraukan Shah. Lepas Murni terpijak parang, Shah yg merawatnya, semakin menyentuh hatinya. Omar mengamuk biler nampak Murni rapat dgn Shah. Dia tuduh macam2. Dalam keadaan luka berdarah, Murni keluar dari rumah dan menumpang di pondok tauke Lim.


whoaaa banyaknya nak citer!! tapi ni baru lebih kurang separuh cerita, banyak lagi yang Murni tempuhi. Cinta Shah pada Murni memang ikhlas, tapi keluarga Shah sendiri tak suka Murni. Sedih betul. Tapi akhirnya diorang bertemu semula dan tanpa disangka-sangka Shah sendiri menyimpan derita dan mereka bersama akhirnya menempuh saki baki hidup dan terbukti Murni adalah menantu yg terbaik.


Aku rasa paling sedih biler Salbiah yg berubah sikap setelah berkahwin dgn org kaya, kalau tak, dia lah yg paling rapat dgn Murni.. Kesian Murni terpaksa membawa diri ke Kundasang.


Tahniah buat penulis, Bonda Ilani Mysara. Semoga cepat sembuh dan teruskan berkarya.


sure fine whatever
rinn


sinopsis/blurb:


Murni ditakdirkan lahir sebagai anak yg tidak suci atau lebih tepat lagi hasil daripada perbuatan sumbang mahram. Walaupun kehadirannya tidak dipinta, namun ujian ALLAH dia rela menerima. Hidupnya setiap hari dihiasi dgn cacian dan hinaan. Lantas, pada siapa dia harus mengadu? Sebagai manusia yg punya perasaan, hatinya sentiasa merintih pedih.


Darahnya dikatakan kotor dan keturunannya dianggap tidak baik utk dijadikan menantu. Disebabkan itu, dia terpaksa melupakan rasa cinta yg mula berputik di jiwa. Dengan memegang status anak tidak sah taraf, dia sering menghumban dirinya ke lembah yg paling hina. Biarlah.. dia rela berkorban andai itu suratannya.


Seandainya dia memng tidak layak utk mengecapi bahagia, mengapa dirinya difitrahkan cinta? Kalau darah ini tidak serupa yg halal, mengapa ada cinta senandung di hati? Biarlah... buat apa hendak diharap burung yg terbang kalau diri merayap di bumi.


"Shah... Apa yg aku buat sekarang adalah sebagai pengorbanan. Aku terpaksa, Shah. Aku gadai cinta aku semata-mata demimu. Ketahuilah, walau apa jua yg berlaku, hati ini tetap milikmu. Aku berharap suatu hari nanti, kau ketemu jodoh yg lebih baik."


Bacalah demi satu keturunan yg bakal anda cipta.


http://www.alaf21.com.my

Review 30: Sepohon Rindu Terlerai


Sepohon Rindu Terlerai
Penulis : Iyza Amyza
Terbitan: Rhythm Publishing
Cetakan Pertama 2006
isbn: 9559831875673
RM19.90
Sabah/Sarawak: RM20.90


"Rindu yang hilang... kini kembali sinar kasihmu..."



Dah susah nak jumpa buku ni kat kedai2 buku, aku dpt bli ni pun kat kedai 2nd hand jer. Kenapa? sebab aku penah nampak cover buku ni dia mukasurat belakang2 novel yg aku suka 'Tanya Pada Hati' karya Iman Xara. ni adalah karya pertama penulis muda ini.


Kisah ini adalah cerita cinta terpendam. Aiman adalah jejaka yg pernah kecewa apabila ditinggalkan kekasih hati yg sudah berjumpa kekasih baru. Dia menjauhi diri dari wanita, namun kemudian dia menjadi lelaki yg suka berkawan dgn ramai wanita sehingga org mengecop dia sebagai playboy termasuklah Anis Najwa yg dalam diam menyimpan perasaan cinta kepada Aiman.


Aiman memang sudah jatuh cinta pada Anis Najwa tetapi Anis menolak huluran kasihnya. Anis tidak mahu menanggung perasaan kecewa jika bercinta dgn lelaki mata keranjang seperti Aiman. Aiman mengakui keluar dgn ramai wanita tetapi dia hanya jatuh cinta pada Anis. Dua kali Aiman mencuba menghulurkan cinta pada Anis tetapi kedua2nya ditolak dan mereka hanya kekal sbg kawan.


Kemunculan semula Amira mengundang rasa kasihan Aiman kerana Amira meninggalkannya dulu bukannya kerana ada kekasih lain tetapi kerana dia mengidap leukimia. Sekarang dia sudah semakin sembuh dan merayu semula cinta Aiman. Keakraban semula mereka menjauhkan anis dari Aiman.


Rizman, kawan seuniversiti sahabat baik Anis (Dani) turut jatuh hati pada Anis. Tetapi Rizman tak tahu dalam diam, sahabatnya Dani, sudah jatuh hati padanya. Dani hanya memendam perasaan dan melihat saja Rizman berusaha menghulur cinta kepada Anis melalui dirinya. Dani ni baik tak der langsung cuba memburukkan sahabat baiknya Anis, walaupun hatinya terguris.


Anis ni pun jenis suka jer layan org kat telefon, mungkin menimbulkan pengharapan dari Rizman mahupun Aiman.


Tapi Anis dapat membaca perasaan Dani dan cuba menyedarkan Rizman tentang perasaan sebenar sahabatnya. hehe suka pulak aku part Rizman-Dani tu. cute semacam jer ;)


Dalam pada tu, muncul kembali pulak jejaka yg pernah merisik Anis ketika dia berusia 15 thn dan kini Hakim sudah bergelar doktor. Kebetulannya Hakim tu ada kaitan kekeluargaan pulak dgn Amira, x-girlfren Aiman.



Cerita ni dimulakan dgn pertunangan Anis dgn Amirul dan kemudiannya di bab 4 hingga ke bab 40 lebih adalah flashback kepada kisah yg membawa kpd pertunangan itu dan kisah Anis-Aiman juga.


Amira sengaja merahsiakan pertunangan Amirul Hakim dgn Anis Najwa dari pengetahuan Aiman kerana tak nak Aiman terus mengenang Anis. Dalam perjalanan utk mendapatkan penerangan Anis, Aiman ditimpa kemalangan. Tragedi itulah yg mengembalikan Anis pada Aiman.


sure fine whatever
rinn


sinopsis/blurb:


Dalam persoalan hati antara Anis Najwa dengan Aiman, masing-masing memendam perasaan cinta. Biarpun aiman sudah meluahkan perasaannya, namun dia kecewa apabila hasrat hatinya ditolak. Bagi Anis Najwa, bukan kerana tiada rasa sayang di hati, tetapi takut diri dipermainkan. Peribadi Aiman menjadikan Anis Najwa takut utk menerima huluran kasihnya. Dia berharap Aiman berubah, tetapi harapannya hancur apabila Aiman kembali menyambung kasih dgn Amira. Anis Najwa tegar mempertahankan perasaan kasih dan setianya terhadap Aiman walaupun hatinya cuba dimiliki Rizman. Masa berlalu, Anis Najwa dipertemukan dgn Dr. Hakim, lelaki yg sekian lama menaruh hati terhadapnya. Lantaran itu, Anis NAjwa terpaksa akur akan takdir hidupnya walaupun hati tidak merelakannya. Namun, ternyata musibah yg menimpa Aiman telah mengubah perjalanan perhubungan mereka.

Review 29: Jalan Pulang by Nur Hazma


Jalan Pulang
Penulis: Nur Hazma
Cetakan Pertama: 2004
isbn: 9789838934886
RM14.90
244 mukasurat
terbitan: creative enterprise



"Dia terlalu rindukan kasih sayang seorg ibu"


Cerita budak sekolah la.. hehe.. aku bantai baca jer sbb tengok ada nama Nur Hazma kat depan tu. Kalau budak2 skolah baca sesuai sangat la citer ni.


Wahida adalah budak tingkatan dua yg tinggal dgn bapanya kerana ibunya sudah meninggal dunia. Dia seorg student yg pandai dan menjadi kebanggaan bapanya. Pencapaian akademik Wahida berubah apabila dia mula berkawan dgn Amira dan Tania. Dia semakin leka dan selalu keluar tanpa pengetahuan bapanya. Amira dan Tania suka berkawan dgn Wahida yg senang jer nak belanja diorang.


Wahida memberontak apabila bapanya nak kawin lain. Tapi apa kuasa dia utk menghalang perkahwinan itu. Salmi, ibu tirinya adalah wanita yg baik hati, tetapi Wahida tak dapat menerima Salmi sbg pengganti ibunya. Dalam memberontak, Wahida tersentuh juga dgn kelembutan dan kesabaran Salmi.


Tanpa pengetahuan Wahida, rupa2nya Amira ngan Tania tu pencuri. Wahida marah2 apabila Salmi menuduh mereka tu pencuri dan Wahida terus lari dari rumah terutamanya setelah ditampar ayahnya kerana bersikap biadap.


Wahida pergi bermalam di rumah Tania. Masa kat situlah dia sedar, dia bertuah sbenarnya beribu tirikan wanita sebaik Salmi.


sure fine whatever
rinn






sinopsis/blurb:


Wahida dahagakan kasih sayang seorg ibu setelah ibunya meninggal dunia. Ayah pula sentiasa sibuk dgn tugas di pejabat. Terasa hilang tempat utk meluahkan isi hati. Dan apabila kesunyian semakin menghimpit perasaan, dia terpaksa memilih jalannya sendiri. Dia merelakan dirinya hanyut dlm arus kebebasan akhirnya memerangkap diri sendiri.

Review 28: Sungguh Aku Cinta



Sungguh Aku Cinta
Penulis : Anis Ayuni
Terbitan Alaf 21 Sdn. Bhd
Cetakan Pertama 2009
500 mukasurat
isbn: 9789831244333
RM19.90
Sabah/sarawak: RM22.90


"Walau ke mana kau pergi, dirimu sentiasa hadir di hati ini"


Tidak hilang identiti kisah manis-jiwang dari nukilan Anis Ayuni walaupun ini kali pertama kisah cinta darinya yg digarap degn menggunakan sudut pandangan orang ketiga.


Kisah kali ini tentang Maira dan Fajar yang sama-sama meminati aktiviti lasak. Aktiviti2 sebegitulah yg dimanfaatkan oleh Fajar utk mendekati Maira yg sukar ditawan hatinya. Maira sentiasa mengelak walaupun semua org tahu Fajar mengejar cintanya. Selepas kena blasah dgn bekas suami Maira barulah Fajar tahu kisah sebenar. Maira pernah berkahwin ketika belajar di luar negara dan sekembalinya ke Malaysia, dia diceraikan kerana Azhan nak kawin dgn Sofia yg enggan dimadukan walaupun Maira rela bermadu.


Maira meneruskan hidup dan kerjanya sbg janda muda dan dia sentiasa merahsiakan statusnya supaya kisah sedih tidak diungkit semula. Serangan Azhan tidak mematahkan cinta Fajar, malah dia lebih bertekad utk memiliki Maira. Maira akhirnya menyambut cinta Fajar tetapi ibu Fajar tak mahu anak terunanya memperisterikan janda walaupun dia tahu Maira tu baik dan pernah membantunya semasa diragut.


Fajar diminta memilih sama ada ibu tersayang atau Maira. Fajar akur memilih ibunya namun dia berjanji tidak akan bekahwin melainkan kalau Maira yg menjadi isterinya. Dalam kemenangan, ibu Fajar kalah sebenarnya.


Tragedi yg menimpa adik Fajar, Nur Suria yg sama mcm maknya tak suka Fajar kawin ngan janda. Namun dia kini berada dalam situasi Maira apabila suaminya meninggal dunia dlm sebuah kemalangan. Tinggallah dia bersama anaknya yg masih kecil. Kemudian, seorg jejaka bujang mahu memperisterikannya. Ini membuatkan Nur Suria dan ibunya terfikir begitulah keadaan Maira apabila Fajar mahu memperisterikannya. Dpt kah Fajar mengejar cinta Maira sedangkan Azhan sudah kembali menagih cinta dari Maira. Tapi Maira sudah serik dgn cinta.


sure fine whatever
rinn



sinopsis/blurb


Tidak pernah terlintas di fikiran Maira yg janji setia Azhan terhadapnya akan sirna. Sehabis daya Maira memujuk, tetapi lelaki itu tetap mahu menikahi Sofia. Dia ditinggalkan mengutip serpihan harapan yg sudah berkecai.


Maira bangkin mendepani takdir. Bukan serik utk bercinta lagi tetapi salam kasih Fajar dibiarkan sepi. Namun, kesungguhan lelaki itu mendamba cinta, perlahan-lahan melarutkan kedukaannya.


Azhan muncul kembali merayu cinta Maira. Dijaja rasa hati yg tidak bahagia utk meraih simpati, sedangkan bagi Maira, kasih yg sudah terputus takkan ada sambungnya lagi.


Sekali lagi ketabahan Maira diuji apabila Fajar dipaksa membuat pilihan oleh ibunya. Maira pasrah pada takdir ILAHI. Dia menerima hakikat bahawa hidup ini bukan semata-mata kerana cinta...

Monday, October 5, 2009

Meh Jengah Carta Harian MPH Alamanda: 1 Okt 09


1 Oktober yg lalu aku sempat singgah MPH Alamanda. Tak beli buku pun, masuk ronda2 tengok buku pun jadilah. ni carta utk 1 oktober. Yg sebelum atau selepas tu aku tak tau lah. tapi carta hariannya memang tak menentu. utk 1 oktober senarainya ialah:


1. Aku Bukan Billy Miligan
2. Cinta Aku dan Dia
3. Ilham Hati
4. Baju Pengantin Mak Andam
5. Sungguh Aku Cinta
6. Rindu Untuk Dia
7. Gerimis Rindu
8. Tiga Ceritera Dalam Sebuah Pelangi
9. Ucapkan Kau Rindu
10. Hanya Dia Tahu


huhu.. banyak lagi yg aku tak baca.

Nopen Izza Aripin: Kasih Yang Tak Pasti


Tajuk: Kasih Yang Tak Pasti
Penulis: Izza Aripin
Terbitan: KarnaDya Solutions
Cetakan Pertama: 2009



"Kasih yang tak pasti. Satu naskah, tujuh kisah. Berbaloi!"



haaa ni tengok nama kat cover buku jer, aku dah tak sabo2 nak bli :)



Sinopsis:



Kasih Yang Tak Pasti menghimpunkan sebanyak tujuh koleksi novel pendek (nopen) atau kisah-kisah menarik termasuk sambungan nopen Cinta Terakhir yang pernah dimuatkan dalam Biarlah Ku Sendiri. Ketahui kesudahan kisah cinta antara Kay dan Shah dalam Cinta Terakhir II.



Turut dipaparkan ialah dua kisah fantasi dan sains fiksyen yang membawa pembaca mengembara ke dunia dan masa yang berbeza. Dalam Cendana Petualang Merah, anda dibawa mengembara ke alam selari yang mengamalkan hukum karma.



Tiara Dayana pula memaparkan kisah penyiasatan dan perisikan pada masa hadapan. Ikuti pencarian Shazrynn dan rakan-rakannya dalam Kasih Yang Tak Pasti.



Nopen tiga berangkai Cupido I, II, dan III menyingkap kisah empat watak yang akhirnya bersimpul dalam suasana yang tidak terduga.

Thursday, October 1, 2009

Novel Oktober dari JS & KN


Tajuk : Percayalah... AkhirnyaPenulis : Ruby HazriPenerbit : Jemari SeniHarga : RM22 (SM) & RM25 (S&S)Di pasaran : *** Oct
Dia umpama sebuah kolam, kelihatan tenang di permukaan,
berolak dan bergelora di dasarnya
Siapa yang kata cinta tidak semestinya bersatu? Sedangkan
itulah tujuannya perkahwinan! Betullah kata orang, lelaki
Eropah romantisnya tidak setanding dengan lelaki tempatan.
Itulah bahagianya Nur Atiqah menjadi isteri Danial Wolfgang.

Tetapi...
Aku sanggup memungut sisa kasihmu yang sirna, Atiqah. Izinkan
dia berada di sisiku, Tuhan. Biarpun mungkin aku tidak layak
untuk memiliki hatinya ~ Khairil


Salji datang lagi…
Sebelum kuntuman tulip sempat berkembang
di padang harapan
Salji datang lagi...
Kala suramnya awan diri yang pasrah
mengenang mentari cindur yang hilang


Ya Allah, mungkinkah akan ada lagi pertemuan dengannya? ~
Danial Wolfgang


Fitrah hati sahajalah yang mampu menjadikan ikatan perkahwinan
ini sebuah syurga, Atiqah. Bahagia hadir dari dalam hati,
kesannya akan tampak pada zahir dan rupanya terlihat pada
maknawi.


Kenapa kita harus ditemukan dalam situasi seperti ini?
Bukannya ini kehendak yang Ika mahu! ~ Nur Atiqah
*****
Percayalah… Akhirnya membawa RUBY HAZRI menulis sekali lagi
kisah Nur Atiqah.


Sempena ulang tahun Jemari Seni ke-3
Tawaran Percayalah Berganda berlangsung
mulai 6 Okt. sehingga 6 Nov. 2009
(tawaran sah untuk pelanggan yang membuat pesanan online berserta bayaran dalam tempoh ini)
--------------------------------



Segala-galanya berlaku di luar dugaan. Haniza telah diwasiatkan untuk menjaga anak Ratna Dewi – Amanda yang juga merupakan waris tunggal kekayaan keluarganya. Tambah menghuru-harakan keadaan, Haniza terpaksa menemukan Amanda dengan pak ciknya, Iskandar yang telah lama terputus hubungan dengan keluarga tersebut. Dek wasiat Ratna Dewi, Haniza rela melepaskan jawatannya sebagai guru untuk membantu arwah Ratna Dewi. Nasibnya baik kerana berjaya menemukan Amanda dengan Iskandar, tetapi ada syaratnya. Dia dikehendaki untuk terus tinggal bersama Amanda di rumah Iskandar sementelah Iskandar seorang yang mementingkan kerjaya dan tiada masa untuk melayani kerenah Amanda yang masih hijau usianya itu. Namun semua itu hanyalah ‘lakonan’ semata-mata kerana Iskandar ingin melindungi anak buahnya daripada pembunuh yang dahagakan harta kekayaan arwah ayah Amanda, iaitu Fairuz yang juga merupakan pak cik Amanda. Dalam masa yang sama, nyawa Haniza turut menjadi taruhan kerana Fairuz dapat menghidu betapa pentingnya Haniza di dalam hidup Iskandar. Berjayakah Iskandar melindungi Amanda dan Haniza? Berjayakah Iskandar mengubah persepsi Haniza yang menganggapnya sebagai seorang insan yang berhati batu? Berjayakah Iskandar menyumbat Fairuz ke dalam kandang lokap? Siapakah yang membunuh ayah Amanda? Semua persoalan ini bakal terjawab di dalam INGIN KUSENTUH CINTAMU karya penulis baru, Aryanie Ismail.







Review 27: Baju Pengantin Mak Andam



Tajuk: Baju Pengantin Mak Andam
Penulis: Areila Sahimi
terbitan: KakiNovel Enterprise
Cetakan Pertama: 2009
isbn: 9789675067297
524 mukasurat
RM18.00
Sabah/Sarawak: RM21.00


"Zain, sekeras-keras aku, seselamba manapun aku, Zain, aku masih seorang perempuan. Yang tahu rasa malu bila tiba bab nak luahkan isi hati ~Aleeya~

"Biarpun dia srabut, dia kusut, dia jiwa kacau, dia suka teh tarik mamak sekalipun, pada aku dia tetap istimewa." ~Zain~


SEronoknya dpt baca dengan santai, tak payah terkejar2. Ini bukanlah karya yg dipandang sebelah mata. WALAU BAGAIMANAPUN aku terpaksa membacanya sebelah mata sbb aku sakit mata yg belah kanan. aduila.. tapi habis juga akhirnya :)


Cerita yg disampaikan dalam bahasa yang santai dengan motif utk menghiburkan pembacanya. Kalau dari segi jalan cerita, ini bukanlah jalan cerita baru, ia adalah kisah yg cinta yg sangat biasa, cuma alunan Areila Sahimi menjadikan cerita ini menarik dan subjek utamanya adalah seorang mak andam sambilan menjadikan cerita ini mudah diingati.


Bahasa cerita ini tentu lebih enjoyable buat golongan remaja. Bagi orang lama2 saya tak taulah perasaan diorang biler baca cerita yg ada gaya bahasa santai-modern begini. Saya suka jerrrr :) Makin ramai penulis muda yg menggunakan pendekatan begini utk menyampaikan karya mereka supaya lebih mengikut rentak pembaca2 muda rasanya. Dengan cover yg comel-cute, tajuk yg agak unik, memang mudah memikat hati pembaca utk mencapai novel ini walapun nama Areila Sahimi masih baru dalam dunia penulisan novel.


Cuma pada awal cerita, saya rasa penulis hilang fokus dalam bercerita. Dia tengah cerita tentang satu perkara, tapi tetiba dia termasuk cerita perkara lain sampai beberapa muka surat, and then sambung balik benda yg dia nak cerita mula2. Aku pun jadi hilang fokus and kena flip balik ke muka surat sebelumnya. Tapi memang ralit la baca kisah yg mcm ni sedar2 jer dah abis dah. Dialognya memang sentiasa gila2 dan mengundang tawa. Bahasa-bahasa biasa dan simpulan2 bahasa biasa yg dijumble-rock kan kadang2 nampak pelik dan kadang2 nampak kelakar


Cerita ni disampaikan dlm penceritaan orang ketiga tapi kadang2 jadi macam diceritakan oleh ganti nama aku. hmm rasa macam ada masalah editting. Rasanya cerita ini boleh jadi lebih kemas dan tentunya akan lebih menarik. Nasib baik happy ending. tu yg penting tu ;)



apa2pun tahniah buat penulis muda ini dan saya amat menantikan karyanya yg seterusnya.



serba sedikit tentang kisah ini:


Aleeya ni P.A kat jabatan kerajaan yg merupakan partime student dan partime mak andam (kalau cuti sem lah). Pertemuan dgn Zain di sebuah majlis perkahwinan, lebih mencetuskan rasa sakit hati, tapi lama kelamaan mereka menjadi kawan. Zain terlebih dahulu meluahkan perasaan kpd Aleeya. Di saat Aleeya mula yakin dgn perasaannya, timbul salah faham yg menyebabkan mereka terpisah.


Rasanya dengan membaca novel ni pembaca sebenarnya akan merasa lebih mengenali penulis ini dengan lebih dekat dan mesra. Dia seperti menceritakan pengalaman sendiri yg penuh warna warni dan tentulah gila-gila-mengong.


sure fine whatever
rinn



sinopsis/blurb:


Aleeya dan Zain berjumpa di majlis perkahwinan pelanggan Kak Ana. Mereka asalnya bukannya sebulu. Namun Kalau Zain dah menghulurkan salam perkenalan, Aleeya pun tak adalah nak jual mahal sangat. Jalan ajerlah. Sebab Aleeya bukan jenis org yg sombong tak bertempat.


Aleeya dan Zain bermula sekadar kawan biasa, kemudia mereka mula masuk fasa teman tapi mesra. Zain kata sayang, Zain kata cinta. Tapi Aleeya blur tak tau nak kata apa sbb dia tak tau apa yg dia rasa. Yang dia tahu dia fobia utk jatuh cinta sbb dia takut kena tinggal, dia takut kecewa macam apa yg pernah dia lalui sebelum itu. Dia jadi sangat keliru.


Tiba2 badai datang melanda. Dari teman tapi mesra menjadi musuh yg langsung tak boleh tengok muka. Jauh di mata perlukah jauh di hati juga? Namun dalam ribut taufan itu, rindu tetap bertandang di hati, sayang sudah sedia bertenggek di jiwa. Kenapa di bina tembok ego di antara dua hati ini jika bahagia itu sudah di depan mata?


Lalu siapakah yg harus mengambil inisiatif utk menyelamatkan hubungan ini? biar yg simpul dileraikan biar yg kusut dilembutkan, biar yg serabut dirapikan. biar jadi wangi seperti sediakala. Aleeya? Zain? Kak Ana? Rozy? Azizul?


---

Ada beberapa perkataan yg sangat biasa buat penjawat jabatan kerajaan tetapi mungkin tak biasa utk pembaca umum, contoh mcm CC. Penjawat awam mgkin tau CC tu chief Clerk tapi kalau org lain mgkin tak tau apa perkataan tu. Jadi mgkin lebih elok kalau guna perkataan yg org lain mudah faham jugak. apa2pun itu tak mengganggu jalan cerita yg nak disampaikan.

Bengkel Penulisan Thriller dan Aksi


SEBARKAN PADA RAKAN TAULAN ANDA!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!



BENGKEL PENULISAN THRILLER DAN AKSI




ALAF 21 akan mengadakan bengkel penulisan yang akan dipimpin oleh dua orang novelis terkenal iaitu Ramlee Awang Mursyid dan Eyman Hykal.



Tujuan bengkel ini untuk memberi panduan bagaimana menulis novel berbentuk thriller dan aksi. Mereka yang berminat jangan lepaskan peluang mengikuti bengkel ini yang akan diadakan seperti berikut:




Tarikh: Sabtu 10 Oktober 2009




Tempat: Akademi Karangkraf




Alamat: Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd

Lot 2 Jalan Sepana 15/3, Seksyen 15

Shah Alam, Selangor.




Masa: 9.00 pagi – 3.00 petang




Peserta: 27 orang




Yuran: RM35


Sarapan, makan tengah hari dan cenderahati disediakan.





Bayaran hendaklah dibuat kepada Alaf 21 menerusi akaun Maybank 014271416077.



Fakskan slip bayaran, butir-butir diri anda serta nama kursus ke 03-55113817 atau e-mel ke alaf@alaf21.com.my



Sebarang pertanyaan sila hubungi Sa’adiah/Roziana di talian 03-55118820/21

Saksi Cinta Dari Alaf 21


TERBARU DI PASARAN!!!

MILIKI NOVEL SAKSI CINTA...

Kepada anda peminat novel, miliki novel SAKSI CINTA
sekarang!!!

CARA LANGGANAN 1
Step1: Bank in ke dalam akaun Alaf: 014271416077

Step 2: Fax ke 03-55113817 ATAU e-mail ke alaf@alaf21.com.my
- Bukti bayaran
- Nama, Alamat & Nombor telefon
- Tajuk buku

CARA LANGGANAN 2
Langgan melalui pos dengan menghantar MO/PO/Cek kepada:

ALAF 21 SDN. BHD.
Lot 12, Persiaran Kemajuan 16/16, Seksyen 16,
40200 Shah Alam Selangor.

TAJUK : SAKSI CINTA
PENULIS : Wana Amani
HARGA : RM18.00
HaLAMAN : 488
ISBN : 978-983-124-457-9

Sinopsis: MENGENALI Juliana seakan satu anugerah yang ALLAH berikan kepada Iskandar. Kehadiran gadis itu telah menceriakan hidupnya dan disayangi oleh seluruh ahli keluarga serta sahabatnya. Juliana begitu istimewa. Malah, Juliana juga telah mengajarnya menjadi seorang lelaki yang lebih bertanggungjawab.

Di saat Iskandar masih berteka-teki tentang perasaannya terhadap Juliana, Maya hadir menghulur salam perkenalan. Ternyata wajah ayu, kesopanan dan kelembutan gadis itu telah mencuri hati lelakinya. Dia rela bersama Maya walaupun jalan yang dilalui tidak semudah dan seindah ketika berdampingan dengan Juliana.

Bagi Juliana, dia terpaksa akur... Iskandar bukan miliknya. Demi sayang, dia sanggup melihat Iskandar berbahagia walaupun hatinya merintih hiba. Namun, saat semua impian ingin dicapai, Iskandar hadir memberi segunung harapan. Dia keliru. Adakah Iskandar lelaki yang sama pernah bertapak dalam hatinya?

Kini, mimpinya yang bertahun lalu seakan berubah menjadi realiti...