Terbaru di Rak Rinn: Sentuh buku utk baca review (klik next utk rak lama)

Shelfari: Book reviews on your book blog

Monday, May 30, 2011

Review 403: Selamat Malam Kekasih by Aina Emir



Selamat Malam Kekasih
Penulis: Aina Emir
Editor : Shana
Terbitan KarnaDya Solutions
RM23.90
Sabah/Sarawak: RM26.90
9789675367885
568 mukasurat


"kumencintaimu lebih dari apapun
meskipun tiada seorang pun yang tahu"


Maya Kamilla dari keluarga yang kaya raya. Walaupun bergelar balu, bapanya masih mahu dia bersuami semula dengan lelaki yang kaya dan setaraf dengan mereka. Pilihan terbaik untuk Maya adalah Izz Al Din, adik kepada arwah suaminya (Farhan) yang baru putus tunang. Ibu mertuanya juga mengalu-alukan Maya terus menjadi menantunya.


Bapa Maya mahu menambahkan kekayaan keluarga seperti yang dijanjikan ibu Izz Al Din, sedangkan Izz Al Din sekeluarga yang terpaksa mendapatkan semula Maya sebagai menantu jika mahu kekayaan terus kekal menjadi milik mereka. Farhan telah mengaturkan segala-galanya dengan penuh teliti sebelum meninggal dunia.


Maya dan ibu tirinya meragui keikhlasan cinta Izz Al Din, lagipun Maya lebih tertarik kepada Misyal yang dua tahun lebih muda darinya. Maya cuba menyembunyikan perasaannya kerana sedar cinta mereka tak akan direstui. Misyal awal-awal lagi sudah terpesona dengan kecantikan Maya yang keanak-anakan.


Bapa Maya menerima Misyal bekerja di syarikatnya kerana yakin dengan kebolehan Misyal. Misyal dan Maya selesa bekerjasama dan perasaan hati semakin kukuh walaupun mereka mengelak untuk berbincang mengenainya. Tempat peranginan milik Maya yang jauh dalam hutan memaut hati Misyal tetapi Izz Al Din tak putus-putus mengomel kerana Nissan Skyline nya yang comot dan tergores ketika perjalanan ke sana. Mungkin keindahan Kamillaville sendiri tidak dapat mengubati sakit hati Izz.


Pencarian di Indonesia banyak memberi peluang kepada Misyal dan Maya untuk saling meluah rasa. Misyal semakin berani melamar dan memaksa Maya membuat keputusan untuk memilih di antara dirinya dan Izz. Maya akhirnya nekad mendapatkan abangnya di Brunei untuk mewalikan nikahnya. Kehadiran Maya tidak disenangi ibu Misyal yang teringin bermenantukan Liyana, anak bekas kekasihnya.


Ada dua kejutan yang disembunyikan dengan baik oleh penulis, iaitu rahsia keluarga Izz Al Din yang kehilangan kekayaan gara-gara wasiat Farhan. Wasiat yang menjadikan Maya sudah cukup kaya-raya walaupun tidak berkahwin dengan Izz. Kejutan kedua adalah sebab sebenar mengapa ibu Misyal benci sangat dengan Maya. Mungkin kita akan menyangka ibu Misyal mahu bermenantukan anak dara dan bukannya mak janda. Kelembutan Maya memikat hati adik beradik Misyal dan bapa mertuanya tetapi tidak berjaya melembutkan hati ibu Misyal. Liyana tu kalau senonoh tak apalah juga.


sure fine whatever
rinn




blurb/alongside multiply/sinopsis


Hatinya sudah lama membeku hampir jadi kaku. Berpisah dengan Farhan begitu terkesan sekali. Umurnya masih muda, namun dia terpaksa sahaja melalui sesuatu yang membebankan, bagaikan kaca yang remuk setelah terhumban di atas batu. Mujurlah dia ada Aunty Julia dan Ain Suraya yang mampu menenangkan fikirannya. Namun, papanya mula mendesak agar Maya Kamilla tidak membuang masa lagi.


Pun begitu, papanya cerewet. Kalau tidak sama status dan tidak sekufu, jangan haraplah papanya akan bersetuju. Mungkin kerana itulah Maya terpaksa jauhkan diri daripada sang arjuna. Lagipun, lelaki itu tak cukup 'mata' untuk diletakkan dalam senarai calonnya.


Izz al Din tidak banyak beza daripada Farhan dari segi latarnya. Paling secocok dengan Maya Kamilla. Dia juga pernah menyayanginya, sama seperti Farhan juga. Apakah kali ini Abang Izz mampu menambat hati Maya semula? Atau Maya masih berkira-kira kerana dengan niat Abang Izz diraguinya. Tapi kenapa pula?


Soal status bukan sekadar menjadi isu papa Maya sahaja, tetapi merupakan soal penting buat orang lain jua. Dalam usaha Maya Kamillla untuk mencari pengganti, dia semakin terbeban.


Misyal pula lebih muda daripadanya. Takkanlah si ustaz ini mampu menandingi Abang Izz yang serba hebat itu? Ke manakah arah yg ingin Maya tuju? Sanggupkah Maya terus mengikut arahan papanya, atau kali ini dia mahu memberontak lalu mengikut kata hati pula?


Selamat Malam Kekasih mengutarakan isu-isu kehidupan masyarakat melayu elit hari ini. Juga mengetengahkan soal agama, harta dan waris, termasuk kesetiaan dan kejujuran dalam amalan seharian, di sebalik unsur humor dan romantis yang diselitkan.

No comments:

Post a Comment